PLBS di sekolah

Labels:


Pendahuluan

PLBS ialah proses pentaksiran lisan yang dilaksanakan semasa pengajaran  dan pembelajaran didalam atau pun di luar bilik darjah. Mata pelajaran yang terlibat dalam PLBS ialah Bahasa Melayu dan Bahasa Inggeris Tahun 1 hingga Tahun 6 bagi sekolah rendah dan Tingkatan 1 hingga Tingkatan 3 bagi sekolah menengah.


                  PLBS bermatlamat untuk melahirkan murid yang terampil bertutur dalam pelbagai situasi serta mempunyai kemahiran dan keyakinan diri untuk berkomunikasi dengan berkesan.Apabila guru melaksanakan PLBS, guru dapat mengetahui tahap pencapaian lisan murid yang sebenar. Perlaksanaan PLBS ini juga akan menghasilkan kesahan dan kebolehpercayaan pentaksiran yang tinggi manakala nilai dan kualiti lisan dapat dipertingkatkan selaras dengan hasrat dan objektif pendidikan sekolah rendah dan sekolah menengah. Pentaksiran ini membolehkan penambahbaikan dan pemulihan dilakukan secara berterusan untuk meningkatkan penguasaan pelajar dalam bertutur.

3.0 Pelaksanaan PLBS di sekolah

Aspek yang akan ditaksir dalam PLBS di sekolah berdasarkan empat konstruk, seperti kosa kata dan tatabahasa, sebutan, intonasi dan nada, fasih dan bermakna serta bertatasusila. Guru-guru menjalankan pentaksiran lisan semasa pengajaran dan pembelajaran dengan merujuk  kepada pakej aktiviti yang dicadangkan dan model pentaksiran dalam manual PLBS. Pakej aktiviti ini ialah senarai aktiviti  yang disusun berdasarkan sukatan pelajaran dan huraian  sukatan pelajaran.
            Terdapat 5 Model Pentaksiran PLBS iaitu, model individu, model individu -pendengar, model individu – penggalak, model kumpulan (berpasangan), dan model kumpulan.Pakej aktiviti yang dicadangkan selari dengan sukatan pelajaran dan huraian sukatan pelajaran. Walaubagaimanapun, guru  boleh membuat pengubahsuaian semasa pengajaran dan pembelajaran.

Pentaksiran akan dijalankan secara berterusan semasa pengajaran dan pembelajaran sehingga murid  mencapai tahap kemahiran yang memuaskan. PLBS juga boleh dijalankan diluar untuk pengajaran dan pembelajaran, contohnya semasa perhimpunan sekolah serta aktiviti kokurikulum.

                 Penyataan pencapaian murid dalam PLBS akan dilaporkan dalam buku rekod atau kad pencapaian murid berdasarkan kriteria penskoran yang ditetapkan. PLBS tidak akan menambah beban tugas guru kerana PLBS bukan suatu ujian. Perlaksanaan PLBS akan membolehkan berlakunya proses penambahbaikan pembelajaran dan bahan pentaksiran  telah disediakan. Tambahan pula, maklum balas daripada penilaian  akan membantu guru mengambil tindakan susulan untuk mengatasi kelemahan pelajar serta meningkatkan proses pengajaran dan pembelajaran. PLBS tidak menekankan perbandingan antara pelajar. Penilaian ini  dapat mengesan perkembangan dan pencapaian setiap pelajar dan tidak membuat perbandingan dengan pencapaian pelajar-pelajar lain.

                 PLBS juga tidak menekankan konsep lulus atau gagal. Ia lebih menekankan pembelajaran penguasaan di mana walaupun kadar pembelajaran pelajar berbeza, semua pelajar akan mencapai matlamat pada masa akhirnya. Setiap pelajar akan menguasai pembelajaran mengikut tempoh masa masing-masing.

                 Kaedah-kaedah penilaian yang dijalankan oleh guru adalah secara pemerhatian. Pemerhatian merupakan satu cara yang membolehkan guru mengesan pencapaian, perlakuan, amalan, sikap dan minat pelajar. Ia boleh dilakukan di dalam atau di luar bilik darjah. Pemerhatian dilakukan oleh guru terhadap pelajar secara individu atau kumpulan dalam pelaksanan aktiviti pengajaran – pembelajaran serta aktiviti ko-kurikulum.

                 Penilaian secara lisan salah satu penilaian yang memerlukan guru berinteraksi dengan pelajar. Contoh-contoh interaksi lisan adalah soal jawab, temubual dengan pelajar mengenai pengetahuan, kemahiran, perlakuan, amalan dan sikap mereka.
Kemahiran lisan mengandungi dua komponen iaitu kemahiran mendengar dan kemahiran bertutur. Kedua-dua komponen ini sama pentingnya dan seharusnya diberi penekanan yang sama juga dalam pengajaran dan penilaian. Akan tetapi, secara praktis di bilik darjah, aspek kemahiran mendengar kurang atau tidak diberikan tumpuan yang sewajarnya berbanding dengan kemahiran bertutur.Para guru bahasa nampaknya lebih menekankan kemahiran bertutur sahaja. Sepatutnya, kemahiran mendengar diberikan tumpuan yang sama penting dengan kemahiran bertutur kerana ketika menerima masej melalui lisan kita memerlukan kemahiran mendengar.

                 Kemahiran mendengar boleh dinilai oleh guru secara individu atau kumpulan. Berikut tugasan yang bakal dilaksanakan oleh guru termasuk memberi pilihan daripada majalah, cerita, akhbar, syarahan dan sebagainya.Pilihan tidak diedarkan kepada murid disebabkan aktiviti ini bukan kemahiran membaca.Murid hanya dikehendaki mendengar petikan yang dibaca oleh guru dan kemudiannya menjawab soalan yang ditanyakan. Teknik yang lain ialah ujian mendengar paragraf  dan ujian imlak. Paragraf yang dimaksudkan dalam teknik ini ialah perenggan kecil. Dalam teknik ini paragraf pendek yang diperdengarkan, iaitu dibacakan dengan nyaring oleh guru berasingan dari segi cerita, tema atau isinya dan tidak berkaitan antara satu dengan yang lain. Ujian imlak pula, murid dikehendaki mendengar dengan teliti, memahami apa yang didengar. Teknik ini dianggap sesuai bagi peringkat sekolah rendah dan menengah.Pemeriksaan dan pemarkahannya adalah secara objektif, ketekalan pengukuran antara pemeriksa adalah sangat tinggi.

                 Komponen kemahiran lisan yang kedua ialah bertutur.Beberapa teknik yang biasa digunakan oleh guru-guru bagi mengukur kemahiran bercakap atau bertutur dalam kalangan murid-murid.Antaranya ialah berbual beradasarkan tajuk, dan berucap menurut tajuk atau tema. Ujian perbualan boleh dijalankan dalam sebuah bilik berasingan yang bebas daripada sebarang gangguan bunyi bising. Perbualan adalah berdasarkan tajuk yang difikirkan sesuai dengan peringkat umur murid. Tujuan guru memberikan sesuatu tajuk adalah untuk merangsang minda murid supaya boleh berfikir  dan boleh bercakap atau berbual dalam Bahasa Melayu dengan fasihdan lancar. Teknik yang mungkin sesuai dengan murid tahap dua iaitu teknik  berucap mengikut topik atau tema. Seorang murid akan memilih satu topik daripada pilihan yang diberikan dan diberikan masa selama satu  atau dua hari bagi menyediakan ucapan pendeknya  berkaitn dengan topik yang dipilih.  Teknik ini mempunyai risiko atau kemungkinan kurang baik kerana seorang murid itu mungkin akan menghafal keseluruhan ucapannya.

               Setiap penilaian, aspek yang ditaksikan seperti penggunaan kosa kata  dan tatabahasa dengan tepat dan betul mengikut konfeksi, sebutan, intonasi dan nada, kefasihan dan bermakna serta bertatasusila.

3.1          Rekod dan Pelaporan

Semua maklumat daripada penilaian bilik darjah direkodkan untuk membantu guru merancang pengajaran – pembelajaran membuat tindakan susulan dan pelaporan. Catatan dibuat secara berterusan dalam buku rekod mengajar, catatan guru, buku latihan, lembaran kerja, senarai semak, laporan kemajuan murid, fail pelajar dan boring-borang lain. Pelaporan mengenai prestasi pelajar dibuat kepada ibu bapa, pelajar dan guru. Pelaporan mengenai prestasi meliputi pencapaian  pelajar dari segi pengetahuan, kemahiran, nilai dan sikap. Pelaporan juga meliputi kekuatan dan kelemahan pelajar ketika pelaksanaan pentaksiran  lisan cadangan mengatasi kelemahan pelajar dan mempertingkatkan lagi pembelajaran juga dimasukkan dalam pelaporan. Pelaporan dibuat secara lisan dan bertulis dalam bentuk penyataan dan gred.Perbandingan pencapaian dan kedudukan di antara pelajar tidak diperlukan. Pelaporan secara umumnya memberi gambaran menyeluruh tentang perkembangan pelajar  dalam

penguasaan, pencapaian, pengetahuan dan kemahiran, sikap dan amalan.

3.2           Tindakan Susulan

Tindakan susulan dijalankan berdasarkan segala maklumat yang diperolehi daripada penilaian. Tindakan susulan harus dalam bentuk pengukuhan , pemulihan dan pengayaan. Antara langkah-langkah yang dilaksanakan dalam tindakan susulan ialah guru perlu mengubahsuai objektif pengajaran dan pembelajaran mengikut tahap kebolehan pelajar. Untuk memperoleh maklumat tentang pencapaian pelajar, guru-guru  harus menilai semua peringkat hasil pembelajaran iaitu pengetahuan, kefahaman, aplikasi, analisis, sintesis dan penilaian. Pelbagai alat penilaian akan membolehkan  satu gambaran umum tentang pencapaian pelajar.

                 Seterusnya, guru-guru boleh mempelbagaikan teknik pengajaran supaya selaras dengan kebolehan pelajar. Guru-guru juga boleh menggunakan sumber pengajaran – pembelajaran yang sesuai dan menarik dan mengikut  kebolehan dan minat pelajar. Selain itu, guru perlu memberi bimbingan kepada pelajar secara individu dan kumpulan.  Melalui analisis prestasi pelajar dan maklum balas kepada pelajar, guru harus mengambil tindakan yang sesuai untuk menambahbaik proses pengajaran dan pembelajaran seperti yang ditunjukkan dalam pencapaian hasil pembelajaran. Tindakan selanjutnya ialah guru harus membuat pengubahsuaian setelah kelemahan yang dikesan. Antara pengubahsuaian yang perlu diambil perhatian termasuklah strategi-strategi  pengajaran, pengajaran yang sesuai untuk menangani  kekuatan dan kelemahan mengenai pengetahuan dan kelemahan pelajar. Guru perlu menganalisis dan menggunakan data pencapaian untuk  merancang pelajaran supaya memenuhi keperluan pengajaran individu atau kumpulan pelajar.
     
Guru  harus memilih dan mengubahsuai penilaian agar selari dengan hasil
pembelajaran. Guru-guru seharusnya memberi  secara jelas dan tepat kriteria-kriteria
penilaian terperinci dan standard prestasi yang diharapkan kepada pelajar. Dengan itu, pelajar akan lebih sedar tentang hasil pembelajaran dan standard yang diharapkan
daripada mereka. Sebagai guru kita harus membuat modifikasi terhadap pengajaran,
strategi dan rancangan penilaian supaya dapat menambahbaik dan membawa perubahan kepada pencapaian keseluruhan pelajar.

Penutup

Langkah-langkah pengujian, pengukuran dan penilaian yang tepat dan berkesan dijalankan oleh guru dalam bilik darjah merupakan dasar penting bagi pencapaian pengajaran dan pembelajaran yang berkesan.  Jesteru, kecekapan guru dalam membangunkan instrument pengujian dan penilaian amat penting malah sama pentingnya dengan penguasaan guru terhadap kurikulum yang diajar bagi menjamin keberkesanan pengajaran dan pembelajaran.  Keberkesanan pengajaran dan pembelajaran hasil daripada  aktiviti pentaksiran, pengujian dan penilaian yang baik juga bukan sahaja memberikan satu kejayaan kepada guru malah  kepada murid-murid yang diajar.  Oleh yang demikian, guru-guru  perlulah mengaplikasikan atau mempraktikkan konsep-konsep ini dengan sebaiknya.di sekolah.

                                                        

0 comments:

Post a Comment